Sabah, negeri yang kedua terbesar di Malaysia, terletak di utara pulau Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia. Sabah meliputi kawasan seluas 72,500 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 14,400 kilometer dengan Laut Cina Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di sebelah timur laut dan Laut Selebes di sebelah selatan. Secara kasar, saiz negeri Sabah adalah sebesar saiz negara Ireland di Eropah. Ibukota negeri Sabah ialah Kota Kinabalu dan dahulunya dikenali sebagaiJesselton semasa zaman kolonialisme. Kota Kinabalu kini telah dinaiktarafkan kepada status bandaraya pada 2 Februari 2002.

   Dikenali dengan gelaran "Negeri Di Bawah Bayu" , Sabah bukan sahaja terkenal dengan keindahan semulajadi tetapi juga  dengan warisan budaya penduduknya. Sabah kaya dengan berbagai-bagai jenis tumbuhan. Bunga terbesar di dunia Rafflesia  dengan kuntumnya berukuran tiga meter garis pusat boleh ditemui di Sabah. Terdapat  pelbagai spesies anggerik/ orkid, periuk kera dan rhododendron pula didapati tumbuh di Sabah.


Keadaan geografi Sabah berbukit - bukau malah  bergunung-ganang disilangi dengan sungai-sungai yang mengalir melalui lembah-lembah menerusi dataran tanah yang subur dan gua juga boleh ditemui di hutan-hutannya. Gunung Kinabalu, gunung  yang tertinggi di Asia Tenggara tersergam indah dengan ketinggian 4,059 meter.

Lembah Gully (di gunung Kinabalu)

Hutannya yang subur menghijau menjadi tempat lindungan bagi hidupan liar seperti badak sumbu Sumatra, orang utan, gajah, pelanduk, monyet, tupai terbang, rusa dan burung. Aktiviti pembalakan yang kurang terkawal telah pun memusnahkan kawasan hutan rimba yang amat luas semenjak 20 tahun yang lalu. Spesis-spesis flora dan fauna juga telah banyak menghadapi kepupusan di kawasan tertentu serta menjadi semakin sukar ditemui seperti yang berlaku kepada spesis bunga orkid dan juga beruang madu hitam Malaysia. Kawasan yang masih selamat untuk tumbuhan dan haiwan terancam hidup adalah dalam kawasan hutan simpan. Kawasan hutan simpan ini seperti Maliau Basin dan Hutan Simpan Raflesiaadalah contoh hutan simpan yang ada di Sabah. Tempat ini secara langsung menjadi daya tarikan pelancongan serta kawasan kajian biologi yang penting baik dalam negara atau luar negara. 

Sabah juga dirahmati dengan penduduk berbilang kaum. Masyarakat aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan tidak kurang daripada 80 dialek. Kumpulan etnik yang utama adalah Kadazandusun (merupakan satu pertiga dari jumlah penduduk Sabah), Murut, Paitan, dan Bajau. Kumpulan penduduk asli yang lain termasuk Bonggi, Iranun, Ida'an dan Brunei. Sebagai tambahan, kaum Cina merupakan kumpulan penduduk bukan asli yang terbesar. Dengan itu, Sabah adalah kaya dengan penduduk berbagai-bagai kaum dengan latarbelakang kebudayaan masing-masing. Keadaan politik Sabah di negara Malaysia adalah sangat rancak di mana parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum etnik telah banyak ditubuhkan serta lantang dalam memberikan pendapat mereka.  

    Berdasarkan kepada penemuan arkeologi, Sabah telah diduduki oleh penghuni sekurang-kurangnya 28,000 tahun yang lalu. Islam sampai di Sabah menjelang akhir abad ke-5 dan ke-16 melalui pedagang Arab dan India dan juga hasil dari pengembangan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei. Orang-orang Eropah datang ke Sabah dua abad kemudiannya. Dalam 1775, Syarikat Hindia-Timur British membuka kawasan perdagangan di Pulau Balembangan. Bagaimanapun, Sabah telah ditadbir dengan jayanya oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dari 1881 hingga 1942 apabila tentera Jepun menduduki negeri ini. Namun demikian, setelah Malaysia mencapai kemerdekaan sepenuhnya daripada pihak British pada 31 Ogos 1957 senario kehidupan rakyat Sabah berubah sama sekali.

Selepas kemusnahan akibat peperangan, Sabah menjadi jajahan British sehingga tarikh rasmi 16 September 1963, iaitu setelah mencapai kemerdekaan sepenuhnya dari pihak British. Sabah bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia.


Negeri Sabah mempunyai tidak kurang  dari tiga puluh etnik suku kaum . Sebuah  negeri yang kaya dengan tarian  kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan.
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum.  Etnik terbesar  di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.  Suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.
Perbezaan di antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, ugama, adat istiadat  dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.
 etnik-sabah2
Kadazan Dusun 
Kaum Kadazan Dusun  merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam  tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.
Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi Sabah  yang terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun  digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan  budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan  lembah dan secara tradisi terlibat dalam   penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.


Tarian Sumazau


Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian Sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. 
Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadapan  dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan.
Pesta Kaamatan (Menuai) disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan  tuaian  baik dan  disambut oleh semua kaum lain Sabah.
Masyarakat Bajau
bajausabah01
Persandingan Masyarakat Bajau
Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau  mendiami  kawasan Semporna dan Kota Belud.  Kaum lelaki dalam kalangan  masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir.
Adat resam kelahiran antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Melayu di Semenanjung terdapat banyak persamaan di mana adat seperti berpantang, menempah bidan dan melenggang perut juga dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Ini kerana kebanyakan masyarakat Bajau di Sabah adalah beragama Islam.


Tarian Brunsai


Suku kaum Bajau boleh dikenali melalui tarian Brunsainya. Tarian Brunsai tidak diiringi dengan musik ataupun bunyi-bunyian, ianya mengutamakan pada "kalang" seperti berbalas pantun yang diiringi oleh hentakan kaki penari lelaki. 
Brunsai biasanya dilakukan pada waktu malam untuk meraikan majlis perkahwinan, merayakan kelahiran bayi, majlis kesyukuran dan bagi meraikan orang yang sudah bernazar. Penari Brunsai juga memakai pakaian yang berwarna warni seperti seluar hitam, biru, merah dan baju serta tanjak yang mempunyai corak-corak menarik.
Tarian Limbai

Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke  rumah untuk melakukan istiadat  pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.
Murut
sabah02
                                             Pakaian tradisional Murut
sabahlansaran_murut
Tarian lansaran masyarakat Murut
Kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi  tiga peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan  pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Kebanyakan kaum  pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik. 

Tarian Magunatip


Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit' yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan lagi sesuatu upacara yang  diadakan.
Tarian Lansaran
Suku kaum Murut amat terkenal dengan tarian  lansaran. Tarian ini hanya dilakukan di lantai khas yang berukuran kira-kira 81 kaki persegi yang dibina di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat. Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya boleh melantun seperti "spring.
Kemuncak tarian ini ialah berbalas-balas pantun tanda mengeratkan lagi tali silaturahim . Pada masa lalu tarian itu diadakan bagi menyambut kepulangan para pahlawan yang telah mencapai kemenangan setelah bertarung di medan pertempuran.
Suku-suku yang lain:
Suku Momogun Rungus

Rungus juga di kenali sebagai Dusun Laut atau Dayak Dusun. Suku kaum Momogun Rungus mendiami kawasan pesisir pantai barat Kudat, pantai timur Kudat, Teluk Marudu, Pitas hingga ke Beluran dan juga kepulauan sekitar  Kudat.  Kebanyakan suku kaum Momogun Rungus adalah  menganut agama Kristian.
Tarian Sumundai Monggigol

Tarian suku kaum Momogun Rungus ditarikan oleh seorang lelaki dan beberapa orang perempuan. Tarian yang dinamakan Sumundai-Mongigol ini diiringi dengan paluan gong. Alatan muzik yang digunakan terdiri daripada 4 buah gong dan gendang yang dinamakan 'Tontog'. Penari perempuan akan merapatkan bahu antara satu sama lain dan menggerakkan pergelangan tangan dengan langkah-langkah yang perlahan dan lembut. Apabila lelaki dan perempuan sama-sama menari, ia dipanggil "miandak" dalam bahasa Rungus. Tarian Sumundai-Mongigol ini ditarikan apabila tiba Pesta Kaamatan, upacara pemujaan semangat, majlis perkahwinan, kematian, keraian ataupun ketika menyambut tetamu yang istimewa.
Suku Iranun

Iranun atau Illanun ialah nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Iranun bermaksud berkasih-kasihan. Ini bagi mewujudnya sistem hubungan sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, yang  berlandaskan sistem kerjasama dan gotong-royong.
Mereka merupakan pelayar yang cekap, tempat tinggal masyarakat Iranun banyak tertumpu di kawasan tepi pantai. Namun ada juga yang terletak di bahagian dalam daerah. Masyarakat Iranun ini banyak menetap di daerah Kota Belud seperti di kampung Pantai Emas, Kaguraan, Kota Peladok, Tamau, Paya-Payas, Marampayan, Kota Bongan, dan lain-lain.
Suku Idaaan

Idaan adalah  etnik yang  menetap terutamanya di sekitar daerah Lahad Datu di persisiran timur Sabah.  Populasi semasa dianggarkan sekitar 6,000 ,  etnik ini memiliki hak esklusif bagi mengumpulkan sarang burung layang-layang di dalam gua batu kapur  di kawasan penempatan  mereka. Sebahagian besarnya adalah muslim, tetapi sebahagian kecil suku kaum yang dikenali sebagai Begaak adalah  animist.
Selama beberapa abad etnik Idaan telah memiliki mekanisme sosial berasaskan  sejarah. Sebagai etnik minoriti, Idaan beroperasi sebagai kumpulan korporat berkait rapat berkaitan dengan aktiviti menuai sarang burung layang-layang.
Suku Bisaya

Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Kedatangan  Islam dalam  kaum Bisaya adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian.
Bangsa Bisaya adalah suku  kaum  asli yang telah tinggal dan menetap di Borneo Sabah sejak beribu tahun yang lalu. Kemahiran suku kaum ini dalah dalam bidang pertanian. Mereka juga mahir memburu binatang liar di hutan untuk dimakan.  Selain itu mereka juga menternak ayam, itik, angsa,  lembu dan lain-lain binatang sebagai makanan.
Kaum Bisaya juga mahir dalam seni kraftangan dan sebahagian besar peralatan kraftangan digunakan dalam kehidupan seharian mereka  selain mahirr menangkap ikan.


Tarian Bubu


Kaum Bisaya mempunyai tariannya sendiri, iaitu Tarian Bubu yang biasanya dipersembahkan  semasa upacara perkahwinan, pertunangan dan jamuan  masuk rumah baru.  Mereka percaya kepada kuasa ghaib, oleh itu dukun atau pawang menjadi perantara komunikasi bagi mereka dengan dunia lain.
Suku Suluk 

Sulu berasal daripada Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti adalah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budayanya yang unik dan tersendiri. Pusat petempatan bagi orang Suluk adalah terletak di daerah Kudat, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Menggatal,T uaran dan Telipok
Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang  membawa maksud "Orang dari Sulu". 
Tarian Balok-balok

Tarian Bolak-Bolak adalah  tarian suku   kaum Suluk yang diiringi dengan pukulan "gabbang" yang sering diadakan di majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain. Tarian ini dilakukan oleh kaum wanita dan lelaki yang memakai pakaian tradisional berwarna warni.
Penari menggunakan empat bilah kayu kecil jenis keras yang digenggam dengan tangan, dua bilah kayu dalam satu tangan ditepuk-tepuk sehingga mengeluarkan bunyi sama rentak dengan pukulan kulintangan.
Suku Tidung

Suku kaum Tidung adalah suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung begitu dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa kawasan di Sandakan seperti di Beluran.
Mereka adalah etnik Muslim dan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan entiti masyarakat lain di sekitarnya seperti masyarakat Bolongan ( Tanjung Selor), masyarakat Banjar ( Banjarmasin ), masyarakat Kutai dan masyarakat Berau yang merupakan penghuni. 
Tarian Zapin

Dalam budaya masyarakat Melayu Tidung, tarian zapin atau zipin serta alat muzik seperti gambus dan kompang yang berasal dari budaya Arab sudah lama digunakan sejak turun temurun. Di Tawau ini juga terdapat masyarakat Melayu keturunan Arab dan Habib yang merupakan golongan pendakwah Islam  terdahulu yang telah menetap di sini dan berkahwin dengan masyarakat tempatan.

PASAR FILIPHINE
Pasar ini terletak di Kota Kinabalu. Dibuka pasa setiap malam bermula jam 7 malam hingga 12 tengahmalam. Pasar ini menjual pelbagai barangan kraftangan, cenderamata, dan pelbagai hasil kraf dari mutiara termasuklah, gelang, rantai, cincin, keronsang dan banyak lagi dengan harga yang sangat murah.

Sunday Market
Pasar ini dibuka pada hujung minggu sahaja iaitu pada hari ahad. Sekiranya anda berkesempatan untuk datang ke pasar ini, pilihan barangan untuk dibawa pulang lebih banyak dengan harga yang jauh lebih murah. Apa yang menarik di pasar ini, walaupun menjual pelbagai jenis barangan seperi ikan, haiwan peliharaan, dan makanan namun pasar ini sangat terjaga dari segi kebersihannya, malah tidak ada satu sampah pun yang boleh anda lihat di kawasan pasar tersebut.

Desa Diary Farm
Desa Dairy Farm dikatakan kawasan New Zealand Malaysia. Di sini mereka menternak lembu susu segar. Kawasan di sini juga sangat sejuk seperti berada di luar Negara. Pemandangannya juga cantik dengan pagar kayu bewarna putih dan kawasan padang ragut bewarna hijau segar. Selain melihat lembu-lembu di sini seperti yang dipelihara di New Zealand, anda juga boleh membeli susu segar yang lazat.

Pulau Manukan
Pulau manukan terletak di seberang laut Kota Kinabalu. Anda perlu menaiki bot di Jeti Jesselton untuk sampai ke Pulau Manukan. Pulau Manukan memang terkenal sebagai lokasi snorkling terbaik di Sabah, airnya yang jernih, pantainya yang putih dan deruan angin yang sangat menyegarkan. Anda  boleh menginap di chalet yang disediakan sekiranya ingin berada di sini lebih lama.

 Poring Hot Spring, Ranau
Poring hot spring adalah taman air panas semulajadi yang dijadikan pusat rekreasi untuk pengunjung yang datang ke sabah. Di sini terdapat sebuah kolam air yang betul-betul panas dikatakan air semulajadi dari gunung berapi. Malah bau asid dari gunung berapi itu juga boleh dihidu dengan kuat di kolam ini. Di sini juga terdapat taman bunga dan taman rama-rama terbesar di sabah. Selain itu, di sini juga terdapat pelbagai hasil kraftangan yang dijual dengan harga yang sangat murah.








Kota Kinabalu (atau lebih dikenali sebagai “KK”) dahulunya dikenali sebagai Jesselton, ialah ibu negeri Sabah yang terletak di Malaysia Timur. Ia juga merupakan pusat pemerintahan bagi Pantai Barat negeri Sabah. Bandar ini terletak di pantai barat laut Borneo menghadap Laut China Selatan. Gunung Kinabalu, yang memberikan bandar ini namanya, berada berdekatan KK, sementara Taman Tunku Abdul Rahman, kawasan perlindungan kehidupan liar, terletak di sini. Sehingga tahun 2010, Kota Kinabalu mempunyai kira-kira 452,058 orang penduduk manakala kawasan daerah Penampang yang juga meliputi kawasan bandar ini mempunyai kira-kira 176,667 orang. Jika dijumlahkan, jumlah populasi metro adalah 628,725.
(sumber : wikipedia)
Bagi anda yang bercadang untuk berkunjung ke sabah, di sini terdapattempat menarik yang harus dilawati sekiranya anda berkunjung ke negeri di bawah bayu ini. Antaranya adalah :

KINABALU PARK
Kinabalu Park terletak di kawasan kaki bukit Gunung Kinabalu, sekiranya anda berkunjung ke sini anda dapat melihat puncak Gunung Kinabalu dari jarak jauh. Kawasan di sini sangat dingin dan berkabus. Anda boleh berjalan kaki atau menaiki kenderaan sendiri. Di sini juga terdapat sebuah kedai yang menjual hasil kraftangan, pelbagai produk teh sabah dan juga cenderamata untuk dibawa pulang.

KAMPUNG BUDAYA
Kampung budaya Sabah terletak di Muzium Negeri Sabah. Di sini anda akan dapat lihat kepelbagai rumah tradisional daripada pelbagai kumpulan etnik suku kaum Sabah. kegiatan kebudayaan juga turut di adakan dari semasa ke semasa. Anda juga boleh melihat jenis-jenis pakaian masyarakat etnik Sabah yang pelbagai.

TAMU PENAMPANG
Tamu penampang adalah pasar yang menjual pelbagai hasil tanah negeri Sabah seperti buah-buahan tempatan, kraftangan, hasil laut, makanan tradisional Sabah dan cenderamata untuk dibawa pulang. Di tamu ini anda dapat lihat buah-buahan tempatan negeri sabah yang mungkin tidak pernah anda ketahui sebelum ini. Malah harganya juga sangat murah.

LOK KAWI WILDLIFE PARK
Terletak di Penampang Sabah, perjalanan 30 minit dari Kota Kinabalu untuk sampai ke sini. Terdapat pelbagai haiwan unik yang boleh anda lihat seperti Kuda Padi, Orang Hutan, Harimau dan Selembu (kacukan seladang dan lembu). Berjalan kaki mengelilingi tempat ini dan melihat haiwan-haiwan yang ada dengan lebih dekat sememangnya sangat menarik, tetapi juga sangat memenatkan. Anda juga boleh melihat pertunjukkan haiwan di sini oleh mereka yang professional.

 MUZIUM SABAH
Muzium ini terletak di Bukit Istana Lama Di Kota Kinabalu. Di muzium ini terdapat taman etnobotani, zoo dan juga sebuah kampong warisan Sabah. Muzium ini menyimpan pelbagai sejarah Sabah yang telah lama diterokai dan masih dikaji sehingga kini.